Agrobank AgroCash-i

Agrobank AgroCash-i adalah pinjaman peribadi Islamik dari Agrobank yang menggunakan konsep Tawarruq. Pinjaman peribadi patuh Syariah ini dibuka kepada kakitangan kerajaan dan kakitangan GLC (Syarikat berkaitan/milik kerajaan).

Ramai yang ingat Agrobank atau Bank Pertanian hanya memberi perkhidmatan berkaitan sektor pertanian, tetapi sebenarnya tidak. Pinjaman AgroCash-i memberi jumlah pembiayaan dari RM1,000 sehingga RM200,000 dengan tempoh pembiayaan dari 1 tahun sehingga menjangkau 10 tahun.

Kelayakan gaji dan kelayakan umur juga sangat minimum bagi yang ingin memohon. Sangat sesuai bagi pekerja sektor awam yang baru bertugas. Faktor-faktor ini membuat pinjaman peribadi Agrobank AgroCash-i sebagai alternatif yang menarik bagi pekerja sektor awam.

 

Ciri-Ciri & Kelebihan Agrobank AgroCash-i

Sebagai pinjaman peribadi Islamik yang ditawarkan untuk kakitangan kerajaan dan kakitangan GLC, Agrobank AgroCash-i didatangkan dengan beberapa ciri-ciri menarik.

  • Tak bercagar dan patuh Syariah – AgroCash-i adalah pinjaman tak bercagar yang patuh Syariah dengan konsep Tawarruq. Terdapat banyak kelebihan untuk pinjaman peribadi yang menggunakan konsep Tawarruq ini.
  • Jumlah pembiayaan yang tinggi – Pinjaman ini menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM200,000.
  • Tempoh pembiayaan yang fleksibel – Agrobank menawarkan tempoh pembiayaan dari 12 bulan sehingga menjangkau 10 tahun. Sangat sesuai dengan jumlah pembiayaan yang tinggi.
  • Kadar keuntungan yang rendah – Pinjaman dari Agrobank ini menawarkan kadar keuntungan yang rendah, iaitu dari 6.7% hingga 7.2% – antara yang terendah berbanding pinjaman peribadi Islamik lain di Malaysia. Kadar keuntungan adalah berbeza antara kakitangan kerajaan dan kakitangan GLC.
  • Kelayakan gaji minimum yang rendah – Jika anda kakitangan kerajaan, anda hanya perlu berpendapatan RM1,000/bulan ke atas, atau RM12,000/tahun. Bagi kakitangan GLC pula, anda perlu berpendapatan RM2,000/bulan atau RM24,000/tahun.
  • Tidak memerlukan penjamin – Pinjaman ini adalah pinjaman peribadi tak bercagar. Oleh itu anda tidak memerlukan sebarang penjamin untuk memohon.
  • Tiada tiada caj penamatan awal – Oleh kerana Agrobank AgroCash-i adalah pinjaman Islamik, Agrobank tidak mengenakan caj penamatan awal (early termination fee).
  • Rebat untuk penamatan awal – Agrobank akan memberikan rebat (Ibra’) sekiranya anda membuat penamatan lebih awal dari kontrak.
  • Pembayaran melalui Biro Angkasa – Pembayaran ansuran bulanan akan ditolak daripada gaji anda menerusi Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA).

Kelebihan-kelebihan ini membuatkan pinjaman peribadi Agrobank AgroCash-i sangat sesuai untuk kakitangan kerajaan dan kakitangan GLC.

 

Syarat Kelayakan Untuk Memohon

Berikut adalah syarat-syarat yang perlu anda teliti sebelum memohon pinjaman peribadi Agrobank AgroCash-i. Fahamkan betul-betul syarat-syarat ini kerana syarat adalah berbeza antara kakitangan kerajaan dan kakitangan GLC.

Syarat umum

  • Tidak disenarai hitamkan oleh AEON atau mana-mana Bank di Malaysia.
  • Tiada Akaun di Bawah Pemerhatian Khas (SAA).
  • Bukan di bawah selaan AKPK.

Syarat untuk kakitangan kerajaan

  • Berumur 18 tahun hingga 60 tahun.
  • Pendapatan bulanan RM1,000 ke atas atau pendapatan tahunan RM12,000 ke atas.
  • Berkhidmat lebih dari 3 tahun perkhidmatan.
  • Potongan Biro Perkhidmatan Angkasa adalah kurang dari 60% pendapatan bersih bulanan.
  • Layak memohon sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan antara 6.45% p.a hingga 6.95% p.a.

Syarat untuk kakitangan GLC

  • Berumur 21 tahun hingga 60 tahun.
  • Pendapatan bulanan RM2,000 ke atas atau pendapatan tahunan RM24,000 ke atas.
  • Berkhidmat lebih dari 3 tahun perkhidmatan.
  • Potongan Biro Perkhidmatan Angkasa adalah kurang dari 50% pendapatan bersih bulanan.
  • Layak memohon sehingga 10 kali ganda gaji kasar, atau had maksimum RM100,000 dengan kadar keuntungan dari 6.7% p.a hingga 7.2% p.a.

 

Dokumen Yang Diperlukan

Berikut ialah dokumen-dokumen yang perlu disediakan untuk memohon pinjaman peribadi Agrobank AgroCash-i.

  • Salinan Kad Pengenalan (MyKad) depan dan belakang.
  • Salinan slip gaji 3 bulan terkini.
  • Salinan penyata bank kemasukan gaji 3 bulan terkini (sama seperti pada slip gaji yang disertakan).
  • Surat pengesahan kerja dari majikan.